SEJARAH SEKOLAH
Selepas pendudukan Jepun di Tanah Melayu, telah timbul
kesedaran tentang pendidikan formal di Kampung Kuala Merah. Oleh itu pada tahun
1949,sekolah persendirian telah ditubuhkan oleh Encik Junus bin Kasban. Cikgu
Junus kemudian digantikan oleh Cikgu Talib bin Hamzah (anak angkat Encik
Hamzah). Tempat yang dijadikan sebagai kelas ialah di Balai Lintang Madrasah
Kuala Merah. Cikgu Talib kemudian digantikan oleh saudara angkatnya iaitu Encik
Murad atau Mat Sirat bin Hamzah.
Sekitar tahun 1953-1955 murid-murid sekolah ini adalah seramai 40 orang. Bagi
membina sekolah penduduk kampung telah berusaha mengutip derma sebanyak
RM30.00. Bilangan murid yang datang untuk belajar telah merosot pada tahun 1956
iaitu 25 orang sahaja. Dengan itu Tuan Haji Mohd.Dani selaku Ketua Penduduk
Kampung Kuala Merah telah melantik Cikgu Syed Ahmad bin Syed Hassan sebagai
guru.Pada 19.04.1956, Sekolah Kuala Merah telah diambilalih oleh Cikgu Syed
Ahmad bin Syed Hassan dengan jumlah murid seramai 12 orang sahaja. Mereka
terdiri daripada 8 orang murid lelaki dan 4 orang murid perempuan. Diatas
daya usaha CikguSyed Ahmad pada 03.01.1957 bilangan murid telah bertambah
menjadi 36 orang (20 lelaki dan 16 perempuan ).
Pada 15.09.1957,Encik Harun bin Abdullah selaku wakil rakyat Kedah Timur telah
bermurah hati menderma 20 buah bangku dan meja panjang. Pada masa ini bilangan
murid telah bertambah seramai 96 orang. Pada tahun 1958,YAB Dato’Shahabudin
telah sudi datang melawat ke sekolah ini. Pada 01.01.1959 bilangan murid
semakin bertambah seramai 160 orang. Pada masa ini sekolah telah mengadakan dua
sesi pengajian, diwaktu pagi dan 1 sesi sebelah petang dengan seorang guru
sahaja.
Pada 05.01.1959, Encik Shafie,Ahli Parlimen Kawasan Baling telah sudi melawat
sekolah dan berjanji membina sebuah sekolah baru bagi menggantikan balai
lintang madrasah yang digunakan pada waktu itu.
Pada 20.05.1959, Pegawai Pelajaran iaitu Encik Mustaffa bin Rajis bersama Cikgu
Suhaimi bin Osman dari Sekolah Kebangsaan Kuala Ketil telah datang berbincang
dengan Tuan Hj.Mohd.Dani bin Hj.Kalim ( Ketua Kampung Kuala Merah ) mengenai
penubuhan Sekolah Rakyat Kuala Merah. Pada 19.09.1959 sekali lagi
pertemuan diantara Ketua kampung bersama guru sekolah ini Cikgu Syed Ahmad
dengan Pegawai Pelajaran diadakan dirumah rehat Kuala Ketil. Pertemuan ini
diadakan untuk membincangkan lagi mengenai penubuhan sekolah ini.
Setelah dipersetujui,pada 30.11.1959 penduduk Kampung Kuala Merah telah
bergotong-royong membersihkan kawasan untuk dijadikan tapak pembinaan sekolah.
Tapak tersebut telah diwakafkan oleh Tuan Haji Mohd.Dani bin Hj.Kalim iaitu
seluas 6 relung. Pada10.02.1960,sebuah sekolah baru ( Blok Perwira ) sekarang
telah siap dibina dengan bantuan kerajaan sepenuhnya. Bilangan murid semakin
bertambah iaitu seramai 180 orang disamping seorang guru sahaja yang mengajar
iaitu Cikgu Syed Ahmad bin Syed Hassan.
Pada 15.03.1960, Guru Pelawat daripada Baling telah datang melawat sekolah ini.
Setahun kemudian pada 01.03.1961, seorang guru pelawat bersama Pegawai
Pelajaran telah melawat sekolah ini bagi membincangkan berkenaan perasmian
sekolah. Bilangan murid pada tahun tersebut adalah seramai 212 orang.
Pada 12.06.1961, sekolah ini telah dirasmikan oleh YAB Dato’Syed Omar bin
Shahabudin selaku Menteri Besar Kedah pada masa itu. Pada 19.09.1961 seorang
guru sementara telah memasuki sekolah ini dan menjadikan bilangan guru
bertambah kepada 2 orang. Cikgu tersebut ialah Cikgu Ismail bin Abd.Hamid dari
Jitra. Pada 03.06.1962, Cikgu Syed Ahmad telah diterima berkursus di Sekolah
Lelaki Kulim. Pada 13.03.1963, Cikgu Mahmud bin Lebai Ahmad telah datang
bertugas sebagai Guru Besar pertama mulai 01.01.1963. Sekolah telah diambil
oleh kerajaan sepenuhnya dan dikenali sebagai SEKOLAH KEBANGSAAN KUALA
MERAH (SKKM ). Pada 14 dan 15 Mac,tahun yang sama kerajaan telah
menghantar seramai 9 orang guru sementara ke sekolah ini. Kelas mula dibuka
pagi dan petang.Murid-murid telah dikelaskan mengikut darjah 1 hingga
darjah 6.
Pada 01.01.1964, seorang guru kerajaan iaitu Cikgu Abd.Rahman serta dua guru
keluaran DTC telah datang bertugas. Manakala,dua orang guru baru keluaran DTC
dan seorang guru TOUS, Cikgu Mohd.Noh daripada Kupang datang bertugas. Pada
13.03.1965, Cikgu Syed Ahmad telah diterima memasuki Maktab Perguruan Sultan
Idris ( MPSI )
Dari tahun 1970 hingga awal tahun 1980 tidak banyak perkembangan serta
perubahan yang berlaku. Pada tahun 1982, sebuah bangunan baru dua tingkat (
Blok Satria ) telah dibina sebagai bangunan tambahan SKKM. Pembinaan bangunan
ini adalah di atas usaha permohonan oleh guru besar kedua sekolah iaitu Encik
Mustafa bin Husin. Tahun 1990 an adalah zaman kecemerlangan pembangunan SKKM.
Pada tahun 1990 bangunan asal SKKM telah dibaikpulih untuk keselesaan pelajar.
Pada tahun 1992 pula kerajaan telah membina sebuah bilik khas untuk murid
prasekolah yang bernilai RM 23,000.00 . Pada tahun 1993, sebuah lagi bangunan
tambahan( Blok Pahlawan ) dibina untuk menampung pelbagai tambahan bilik
seperti pusat sumber sekolah,muzik,pemulihan,kemahiran hidup dan surau.
Setelah 10 tahun iaitu pada tahun 2002 projek pembinaan bangunan baru (bangunan
3 tingkat ) mula dibina. Pada tahun yang sama juga Makmal Komputer projek
kerajaan Fasa ke 2 turut dibina. Pada bulan Oktober 2003 kedua-kedua bangunan
tersebut siap dibina dan dapat digunakan sepenuhnya yang dilengkapi dengan
segala kemudahan seperti bilik pejabat,bilik guru,bilik kemahiran hidup,makmal
sains,pusat sumber berserta bilik media dan bilik-bilik kelas yang
sempurna. Makmal komputer dilengkapi dengan 12 buah komputer bagi tujuan
pengajaran dan pembelajaran.
No comments:
Post a Comment